Nafas Baharu Keluarga Bahagia

KELUARGA BAHAGIA (2023)
SAUJANA x SITI NORDIANA
Lagu & Lirik: Jeff Hazimin
© 2023 SEVENTEEN ELEVEN MUSIC

Tahun 2023, usia lagu malar segar nyanyian Saujana, Keluarga Bahagia, mencapai usia 26 tahun. Malah, lagu ini sangat signifikan dengan nama kumpulan Saujana.

Setelah kejayaan konsert Saujana 25 Tahun pada awal Mac 2023, Saujana tidak tunggu lama meneruskan momentum mereka menerusi Keluarga Bahagia 2023.

Versi kali ini mempamerkan kelainan apabila mereka berkolaboratif bersama penyanyi Siti Nordiana. Lagu “Keluarga Bahagia (2023)” diterbitkan oleh syarikat rakaman Seventeen Eleven Music dengan sentuhan penerbit Zimi.



Mewakili Saujana, Suffian Amrin berkata, pihaknya berbesar hati apabila pasukan Siti Nordiana atau lebih mesra dengan panggilan Nana mencadangkan kepada kami untuk berkolaboratif menerusi lagu “Keluarga Bahagia” ini.

 “Sebelum ini, Nana pernah berduet dengan Ustaz Shahrizan menerusi lagu zikir Hasbi Rabbi, jadi tahun ini perancangan Nana dan pasukannya ialah untuk berduet lagu Keluarga Bahagia pula. Bila dipelawa, kami berasa sangat berbesar hati dan terus bersetuju. Cuma cabarannya adalah dari segi rakaman gandingan penyanyi-penyanyi dari dua jantina dan susunan lagu ini juga sangat berbeza dari yang asal.

“Ini kerana ia membabitkan dua ‘tone’ suara yang berbeza. Bila kami sudah bersetuju untuk berduet, kami teruskan rakaman walaupun terpaksa menjalani sesi rakaman di tiga studio yang berbeza disebabkan perbezaan jadual antara kami semua. Alhamdulillah, lagu dan muzik video akhirnya berjaya disiapkan,” ujar Suffian.


Susunan lagu nafas baharu Keluarga Bahagia 2023 telah dibuat okeh Zimi selaku penerbit. Muzik yang lebih moden berlatarkan genre balada tidak mengubah lirik asal lagu tersebut yang memaparkan mesej kekeluargaan.

Paduan suara yang baik antara Saujana dan Siti Nordiana menerusi lagu ini menggambarkan keintiman mereka dalam bekerjasama. 

Sementara itu, menurut Siti Nordiana, dia berasa bertuah apabila dapat berkolaboratif dengan Saujana yang juga antara kumpulan nasyid legenda tanah air.

“Sejujurnya, saya berasa bertuah sangat. Sebab saya membesar dengan lagu Keluarga Bahagia ini. Secara peribadi, lagu Keluarga Bahagia ini adalah kegemaran saya begitu juga dengan Saujana. Mereka kumpulan nasyid legenda,” katanya.

Menurutnya lagi, perasaan gementar dirasainya apabila menantikan respon peminat mengenai lagu ini.

“Umum mengetahui lagu Keluarga Bahagia ini mempunyai penggemar tersendiri sejak dahulu lagi. Jadi, apabila diberikan nafas baharu tentu saja saya gementar nak menunggu maklumbalas peminat. Apa pun, saya sudah cuba yang terbaik dan menyanyikan lagu ini mengikut cara dan gaya saya sendiri tapi masih kekalkan keaslian, kemerduan lagu ini,” katanya.

Lagu “Keluarga Bahagia (2023)” terbitan Seventeen Eleven Music boleh didengarkan di platform digital Apple Muskc, Spotify dan Youtube Music. Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling