Keputusan Penuh Anugerah Pencinta Nasyid IKIM 2020 (APNI2020)


Anugerah Pencinta Nasyid IKIM 2020 (APNI 2020) telah berlangsung pada 20 Disember 2020.

APNI 2020 adalah sebuah program pertandingan mencipta lagu-lagu nasyid berpandukan 7 nilai-nilai penting dalam Islam yang juga merupakan nilai-nilai bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) iaitu; Ilmu, Hikmah, Adab, Amanah, Adil, Taqwa dan Benar. 

Tujuh peserta APNI 2020

Tujuh orang penerbit iaitu Hafiz Hamidun, Daqmie, Yasin Sulaiman, Ikhwan Fatanna, Fuad Ko, Along Exists dan AG Coco, menggembleng usaha dan kepakaran dalam dalam mengangkat elemen seni Islam di dalam nasyid seperti Tarannum, Qasidah, Burdah dan seumpamanya. 

Penyanyi yang turut serta adalah kumpulan Rabbani, Hijjaz, InTeam, Zayne dan Halim Ahmad, Far East, Fadzli Fareast, Naim Helmi dan Maliq Suhaimi, Awla serta Simfoni dan Afad.

APNI 2020 merupakan kesinambungan usaha IKIM untuk memartabatkan industri nasyid di Malaysia. Konsep kali ini berbeza dengan Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm (ACNI), dan Anugerah Nasyid IKIM (AN). 

Yang berbezanya ialah semua lagu yang dipertandingkan dalam APNI 2020 merupakan karya-karya terbaru yang belum pernah diterbitkan lagi.

Juri yang terlibat dalam APNI 2020 ialah Ustaz Pahrol Juoi, Adeep Nahar, Hairul Anuar, dan Manan Ngah.
Johan APNI 2020


APNI 2020 menyaksikan lagu Rahsia Dari Langit nyanyian Afad dan kumpulan Simfoni dinobatkan sebagai Johan. Lagu bertemakan hikmah ini ciptaan oleh komposer Along (Exists) manakala liriknya ditulis oleh Tinta. Muzik lagu ini disusun oleh Eddie (Slam).

Menariknya, Tinta merupakan seorang bukan Islam.

Naib Johan APNI 2020

Naib Johan pula dinobatkan untuk lagu Pelita yang bertemakan ilmu. Lagu ini ciptaan gandingan komposer Ikhwan Fatana dan Hazwan, liriknya ditulis oleh Ikhwan Fatana dan susunan muzik oleh Shazee.

Lagu Pelita dinyanyikan oleh kumpulan Far East, Naim Helmi, Fadzli Fareast dan Maliq Suhaimi. Menariknya, lagu ini seolah satu simbolik reunion untuk kumpulan Far East apabila dua bekas anggotanya, Naim dan Fadzli, berganding vokal bersama.

Tempat Ketiga APNI 2020

Lagu Saksi Syahadah nyanyian kumpulan Awla mendapat tempat ketiga. Lagu yang bertemakan amanah ini merupakan ciptaan komposer Hafiz Hamidun, lirik ditulis oleh Fedtri Yahya dan Hafiz Hamidun, manakala susunan muzik oleh Chaan. 

APNI 2020 telah ditayangkan secara digital menerusi saluran TV IKIM di laman Youtube serta secara audio menerusi saluran IKIM.fm.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling