Sinar Selawat Simbolik Kesyukuran Fattah Amin


Selepas terbitnya single kerohanian Kiriman Agung, Fattah Amin kali ini muncul lagi dengan lagu terbarunya, Sinar Selawat. 

Jika Kiriman Agung menjadi doa dan harapannya ketika menanti kedatangan cahaya mata sebagai penyeri hidupnya, Sinar Selawat pula menjadi simbolik penghargaan dan tanda kesyukuran Fattah selepas bergelar bapa. 

Single Sinar Selawat

Karya yang menyimpan makna tersendiri itu direalisasikan menerusi kerjasama kedua dengan komposer terkenal, Hafiz Hamidun serta penulis lirik prolifik, Ahmad Fedtri Yahya. 

Fattah berkata, Sinar Selawat menterjemahkan kebahagiaan yang menghuni sudut hatinya selepas bergelar bapa kepada seorang puteri yang comel. 

 “Sinar Selawat menterjemahkan suara hati dan perasaan syukur saya apabila dikurniakan Allah SWT dengan anugerah terindah dalam hidup iaitu zuriat. Seperti pasangan lain, saya dan isteri juga mendambakan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap kehidupan rumah tangga.

“Alhamdulillah, penantian dan doa kami selama ini terjawab dengan kehadiran Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober lalu. Momen itu terlalu bermakna dan ia menjadi kenangan paling manis buat saya serta isteri. Kemanisan itu lebih dirasai apabila kehadiran permata hati saya itu itu turut diraikan dengan iringan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.”

- Fattah Amin
Fattah mengakui, projek istimewa kedua sempena kelahiran anak sulungnya itu begitu dekat dengan hatinya dan sepanjang proses rakaman berlangsung, hatinya begitu tersentuh dengan bait indah lirik yang digarap kemas Ahmad Fedtri. 

“Sebagai penulis lirik berpengalaman, Ahmad Fedtri begitu memahami serta berjaya menyelami segala yang terpendam dan terbuku di sudut hati saya ketika menempuh perjalanan untuk menjadi seorang bapa. 

 “Dia juga berjaya menterjemahkan perasaan bertuah dan terharu saya apabila diberikan Allah SWT peluang berharga untuk menikmati setiap momen istimewa yang mengubah seluruh kehidupan saya sejak kelahiran Nur Fatima Aisya. 

“Setiap bait menyimpan makna yang tersendiri dan ia menjadi lebih indah apabila diselitkan dengan puji-pujian terhadap Allah SWT serta selawat sebagai simbolik kesyukuran saya meraikan kehadiran zuriat pertama dalam hidup,” katanya. 


Diterbitkan Universal Music Malaysia, Sinar Selawat dilancarkan di semua platform digital bermula 11 Disember 2020.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling