Mengimbas kembali pada tahun 1996, Raja Rezza Shah telah menggerakkan usaha menubuhkan sebuah kumpulan nasyid bagi mengisi kekosongan yang ada dalam industri hiburan.
Kumpulan Pedoman menggabungkan penyanyi Ahmad Fauzee, Ebby Saiful, Nassier Wahab dan Syed Sobrie, yang semuanya sinonim dengan kekuatan vokal tersendiri.
Menurut Raja Rezza Shah menerusi catatan dalam album Pedoman, idea penubuhan kumpulan ini tercetus memandangkan kurangnya irama kerohanian ketika itu.
"Saya terpanggil untuk menerbitkan album lagu-lagu berunsur kerohanian dan positif setelah menyedari wujudnya kekurangan lagu sebegitu dimainkan selepas azan berkumandang di televisyen mahupun radio,"- Raja Rezza Shah, penerbit Pedoman.
Kehadiran Pedoman adalah lebih awal berbanding kewujudan Raihan yang mula tertubuh pada tahun 1997. Di bawah Nusantara Gems Sdn Bhd serta edaran Ambang Klasik Sdn Bhd (AKSB), mereka hadir dengan album sulung berjudul Hidup dan Pesan Nabi pada tahun 1996.
Dua buah album Pedoman |
Album ini memuatkan 12 buah lagu yang kebanyakan merupakan nyanyian semula lagu-lagu nasyid lama. Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah Pedoman, Rukun Islam, Tuhan, Pagi Ramadhan, Tiada Yang Kekal, Hidup dan Pesan Nabi, Wudhu, Inikah Manusia, Sabar, Permaidani, Manusia dan Tuhannya serta Selimut Putih.
Album Hidup dan Pesan Nabi lebih mengetengahkan genre muzik kombinasi klasik, R&B dan kontemporari. Projek ini melibatkan Azman Abu Hasan selaku penerbit, penggubah, juruadun dan suara latar.
Rakaman album sulung ini telah dibuat di Studio 67, Petaling Jaya. Menariknya, album ini turut menampilkan Razak Ahmad sebagai artis undangan.
Walaupun Pedoman menggabungkan artis-artis yang hebat, namun kelahiran album sulung ini kurang mendapat sambutan. Kurangnya promosi merupakan antara faktor utama album Hidup dan Pesan Nabi ini tidak diketahui umum.
Usaha mengetengahkan Pedoman tidak bertitik noktah di situ. Pada tahun 2013, Raja Rezza Shah bertekad meneruskan projek Pedoman buat kali kedua.
Mengekalkan empat anggota asal dan ditambah dengan Shah Rezza sebagai anggota baru, Pedoman tampl dengan album kedua, Takkan Berpaling Dari Mu.
Mengambil masa rakaman selama empat bulan, album ini mendapat khidmat sepenuhnya daripada komposer dan penerbit muzik Azman Abu Hassan yang menyuntik susunan muzik baru pada lagu-lagu dalam album berkenaan.
Lagu-lagu tersebut dipilih sendiri oleh Dato' Rezza Shah berdasarkan mesej-mesej positif keagamaan yang dialunkan dalam lagu-lagu nyanyian ini dapat memberi inspirasi serta menjadi sajian nurani untuk para pendengar sekalian.
Masih di bawah terbitan Nusantara Gems Sdn Bhd, album kali ini menggunakan khidmat United Studios Sdn Bhd sebagai pengedar.
Berbeza dengan album sulung, album Takkan Berpaling Dari Mu lebih segar. Konsep yang diketengahkan adalah gabungan kontemporari, R&B dan klasik moden. Lagu yang paling menarik dalam album ini sudah pasti Takkan Berpaling Dari Mu.
Kehadiran projek Pedoman 2 masih belum mampu mengangkat nama Pedoman. Komitmen anggota Pedoman yang mempunyai haluan tersendiri menyebabkan kumpulan ini ibarat tinggal kenangan.
Pedoman menjadi bukti bahawa Allahyarham Nassier Wahab, Ebby Yus, Razak Ahmad, Ahmad Fauzee, Rezza Shah dan Syed Sobrie, pernah mewarnai industri nasyid tanah air.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.