Munif Hijjaz, Zul Rabbani Menggamit Memori Muzik Perkusi


Padu, syahdu, dan menggamit memori. Tiga kata yang ringkas sebagai gambaran ketika menghayati setiap bait lirik, melodi dan vokal yang terkandung dalam lagu Ramadhan Kareem, paduan suara bersama Munif Hijjaz dan Zul Rabbani.

Lagu ciptaan Munif sendiri manakala liriknya ditulis oleh Zuryati atau lebih mesra dikenali sebagai Atie. 

Tatkala mendengar lagu ini, tergamit memori silam akan kehebatan seni kumpulan NadaMurni suatu ketika dahulu. Tambahan pula, Munif Hijjaz merupakan vokal utama manakala Zul Rabbani pula merupakan pemain perkusi kumpulan nasyid lagenda tersebut suatu ketika dahulu.

Konsep muzik perkusi dalam lagu ini menaikkan selera untuk mendengarnya, apatah lagi amat sukar mencari karya nasyid yang sedemikian pada zaman ini.

Munif Hijjaz, Zul Rabbani bersama Zawfan

Selain kekuatan vokal Munif dan Zul, Ramadhan Kareem turut dibantu nyanyian latar oleh kumpulan Zawfan. Peranan vokal harmoni Zawfan berjaya melengkapkan paduan vokal keseluruhan lagu ini. 

Munif Hijjaz dalam hantaran di laman Facebooknya pernah menimbulkan persoalan tentang muzik perkusi ini.

“Mula-mula saya nak buat konsep muzik percussion macam ni saya berbelah bagi, rasa ada ke orang nak dengar muzik macam ni lagi. (Tahun) 2021 zaman dah sangat berubah, teknologi, mood dan muzik dan banyak perubahan, saya sendiri sebenarnya tak 100% nak buat lagu Ramadan ni, memandangkan Ramadan ni datang hanya bagaikan persinggahan sahaja, masanya terlalu singkat.

Kali terakhir saya mencipta lagu ramadan (baru), saya ingat zaman saya Nada Murni dulu, cuma lagu itu di new rearrange semua zaman Hijjaz. Aturan Allah itu yang membuatkan projek lagu ini berjalan dengan mudah dan sempurna, alhamdulillah,” ujar Munif Hijjaz di laman Facebooknya.


Persoalan Munif Hijjaz tentang penerimaan pendengar terjawab apabila bilangan tontonan Ramadhan Kareem telah mencecah melebihi 40 ribu tontonan sejak ia dilancarkan di laman Youtube.

Ramadhan Kareem diterbitkan di bawah label Munif Hijjaz Production sejak 2 April 2021.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling