Strategi Melodi Intisor Melalui “MDH”


Intisor, satu jenama nasyid yang telah wujud dalam industri nasyid Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu.

Bermula dengan lagu Subhanallah pada tahun 2017, kehadiran single terbitan Warner Music tersebut kurang disedari majoriti pencinta nasyid namun itu bukan alasan untuk mereka berundur mengaku kalah.

Kumpulan yang terdiri daripada Samad, Man Syah, Jalil dan Qamar ini tekad untuk tampil dengan single terbaharu berjudul MDH.

Di samping mengekalkan nasyid kontemporari sebagai konsep majoriti untuk lagu ini, Intisor turut menerapkan elemen muzik rap melalui rakan duet Danial Othman sebagai usaha menarik minat golongan muda yang lebih berselera dengan genre tersebut kini.

Bagi menarik golongan ‘otai’, Hasnul Diwani turut dijemput sebagai rakan kolaborasi dalam MDH ini. Kiranya, MDH merupakan kemunculan semula Hasnul Diwani yang kurang aktif sejak kebelakangan ini.

“ Pemilihan Hasnul Diwani dibuat kerana kami dah lama impikan untuk berduet bersama otai nasyid Malaysia. Dan sebab menginginkan kelainan dalam lagu MDH supaya ada elemen rap untuk menarik minat anak muda, Danial Othman menjadi pilihan kami,” ujar mereka.

Bercerita lebih lanjut tentang MDH, lagu ini merupakan ciptaan Samad Intisor manakala lirik ditulis oleh Jalil Intisor dan Danial Othman.

Lagu ini pada asalnya merupakan lagu nyanyian kumpulan Haidary dan terkandung dalam album sulung kumpulan tersebut, Tazkiyatun Nafs, pada tahun 2015.

“MDH bermaksud Muhammad Di Hatiku. Pemilihan judul MDH dibuat sebab lagu ini telah dijenamakan semula daripada lagu asal,” ujar kumpulan ini semasa pelancaran MDH secara maya.

Ditubuhkan pada 7 Januari 2017, setiap ahli Intisor mempunyai pengalaman tersendiri sebelum bergabung membentuk kumpulan ini.

Samad, dan Man Syah merupakan bekas anggota Haidary, manakala Jalil pernah menganggotai DMEN’C. Qamar pula pernah menyertai kumpulan Inspire dan pernah mempunyai single solo secara indie.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling