The Sunnah The Better Imbas Nostalgia Raihan

 
ALBUM: THE SUNNAH THE BETTER
ARTIS: ALIF SATAR & THE LOCOS X RAIHAN
© 2022 | WARNER MUSIC (M) SDN BHD

Kumpulan Raihan merupakan antara artis nasyid yang acapkali sinonim dengan lagu-lagu bersifat edutainment, iaitu belajar sambil berhibur.

Bagi mengembalikan semula nostalgia lama dan menghidupkan semula lagu-lagu malar segar Raihan, Alif Satar & The Locos telah bergandingan dengan artis lagenda nasyid terbabit menerusi sebuah EP, The Sunnah The Better.

Malah, kehadiran EP khas terbitan Warner Music ini dikira bersesuaian dengan pesta Ramadan yang masih disambut oleh umat Islam.

“Sesungguhnya ia merupakan penghormatan besar buat kami, pemuzik pelapis, dapat bekerjasama dengan senior-senior dalam industri muzik Malaysia seperti Raihan. Kita semua membesar mendengar lagu-lagu Raihan yang penuh dengan pengajaran dan peringatan sebagai umat Islam, dan melalui kolaborasi ini, kami ingin menghidupkan semula semangat tersebut dan mengembalikan nostalgia lagu-lagu berunsur spiritual sekaligus memperkenalkan Raihan kepada generasi muda sekarang,” jelas Alif memula kata. 

Kolaboratif Alif Satar bersama Raihan bukanlah sesuatu yang baharu. Mereka pernah berpadu vokal menerusi lagu ‘#Sesungguhnya2019’ dan ‘Damba CintaMu’.


Dalam EP The Sunnah The Better kali ini, sebanyak lima buah lagu malar segar Raihan dirakamkan semula mengikut susunan muzik baharu. 

Lima trek tersebut ialah ‘Bismillah’, ‘25 Rasul’, ‘Puji-Pujian x Syukur (Medley)’, ‘Assolatuwassalam’ dan ‘Rayuan Rindu’. 

Sesi rakaman untuk semua lagu ini hanya mengambil masa selama 2 hari sahaja dan dihasilkan secara ‘jalan terus’, iaitu tiada pengubahsuaian mahupun rakaman semula ibarat nyanyian langsung yang bertempat di Drum Asia, Kota Damansara.

“Ada beberapa kelainan yang kami tonjolkan melalui EP ini, jika sebelum ini kebanyakkan lagu- lagu Raihan dibawakan secara acapella, pada kali ini kami ada memasukkan bunyi-bunyian dari alatan muzik, manakala Che Am dan saya bertindak selaku ketua vokal,”ujar Alif lagi.

Tidak banyak yang diubah dalam semua trek EP ini. Melodinya masih sama seperti versi asal, melainkan susunan muzik sahaja. Tujuannua sudah pasti untuk menghilangkan identiti asal lagu-lagu tersebut.

Selain vokal Alif dan Raihan yang dilihat santai dan ‘ngam’ dengan lagu-lagu yang dibawa, peranan ahli-ahli The Locos sebagai penyanyi latar menambahkan lagi seri EP kali ini.

Selain EP, semua MV The Sunnah The Better arahan saudara Zaidan Zainuddin dari Shutterspeak Studio menampilkan konsep yang ringkas namun menarik dengan jalan cerita yang mudah difahami oleh setiap lapisan umur termasuk kanak-kanak kerana tujuan utamanya adalah memberi nasihat melalui lagu yang disampaikan.

EP The Sunnah The Better boleh didapatkan di platform digital seperti Apple Music, Spotify dan Youtube Music, manakala semua MV EP ini boleh ditonton berperingkat secara eksklusif di saluran YouTube Alif Satar.

1 Comments

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

  1. Dah dengar EP ni.memang mengimbas nostalgia zaman kanak2 dulu.

    ReplyDelete

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling