Konsert Garis Masa Raihan Tarikan Cahaya Israk Mikraj


WNS Marketing Sdn Bhd bersama Musollah Aisya & Ribath Fatimah Az Zahra akan menganjurkan Festival Cahaya Israk Mikraj.

Lebih mengujakan sebuah acara besar yang telah lama dinantikan peminat iaitu Konsert Garis Masa Raihan menjadi ‘kunci’ kepada festival ini yang dijadual berlangsung pada 18 Februari 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Sengaja dinamakan Konsert Garis Masa Raihan, malam tersebut akan diisi dengan untaian lagu yang telah membuat Raihan harum di seluruh dunia.

“Raihan telah berada dalam belantika muzik Malaysia dan menjadi kumpulan nasyid yang berpengaruh serta sama penting seperti pemuzik dalam genre pop misalnya sejak album pertama yang dirilis pada 1996 iaitu Puji Pujian. 

“Sejak itu Raihan telah melalui perjalanan yang panjang dengan turun naik, keluar masuk anggota dan kematangan muzik. Dan di sepanjang garis masa yang dilalui Raihan, kami bersyukur kerana peminat tidak pernah meninggalkan kami. Raihan sentiasa mendapat sokongan daripada semua. 

“Sebab itu konsert kami pada kali ini dinamakan sebagai Konsert Garis Masa Raihan. Lebih istimewanya juga ia menjadi acara kemuncak dalam festival Cahaya Israk Mikraj yang dianjurkan bersempena memperingati perjalanan Rasulullah SAW ini ikut mempunyai segmen lainnya pada sebelah siang hari,” ujar Che Am dari Raihan.

Menjanjikan sebuah konsert yang akan terus menyuburkan rasa cinta dan kasih sayang terhadap Islam dan perjuangan Rasulullah SAW, Raihan akan mendendangkan hits mereka seperti Syukur, Iman Mutiara, Senyum dan Sesungguhnya yang cukup ikonik dengan kumpulan tersebut.


Konsert Garis Masa Raihan akan dibuka dengan kehadiran tokoh Islam, Habib Ali Zainal Abidin dan Habib Jamal Bin Toha Ba’agil dan Sidi Abu Anas Abu Jaish dalam slot khas yang disediakan.

Selain Konsert Garis Masa Raihan, festival Cahaya Israk Mikraj disusun dengan pelbagai aktiviti yang akan ‘membawa’ kita semua kembali merenung dan menghargai pengorbanan Rasulullah SAW terhadap umatnya.

“Selaku penganjur kami amat tidak sabar untuk membawakan Cahaya Israk Mikraj kepada semua. Selain penganjurannya adalah untuk membawa kita semua sama sama menghayati makna di sebalik peristiwa Israk Mikraj, kami juga mahu tradisi sambutan salah satu peristiwa penting dalam kelendar Islam ini terus diingati dan sampai kepada generasi masa kini,” kata Datin Paduka Umie Aida dari Musolla Aisya yang merupakan penganjur bersama festival.

“Apa yang penting Cahaya Israk Mikraj diisi dengan puji pujian terhadap Rasulullah, acara terbaik dan seimbang, supaya semua yang hadir mendapat manfaat dari penganjuran festival ini,” ujar Puan Erma Fatima mewakili Ribath Fatimah Az Zahra selaku penganjur bersama.


Cahaya Israk Mikraj akan berlangsung dengan tiga acara bermula seawal pukul 9 pagi sehingga 11.30 malam. Ia merupakan segmen tausiah dan ceramah sebelum malam kemuncak ditutup dengan persembahan Garis Masa Raihan.

Acara akan dimulakan dengan ceramah berjudul Mengetuk Pintu Langit Israk Mikraj yang menampilkan Ustazah Halimah Alydrus bersama beberapa rakan selebriti termasuk Neelofa, Umie Aida, Hana Ismail, Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Zizi Kirana. 

 Dimulakan pada 9 pagi sehingga 12 tengahari, Mengetuk Pintu Langit Israk Mikraj berlangsung khusus untuk kaum muslimah atau wanita sahaja. 


Acara kemudian disambung pada sebelah petang bermula pukul 2 sehingga 4 petang dengan Kembara Keajaiban & Keimanan Israk Mikraj. 

 Kembara Keajaiban & Keimanan Israk Mikraj yang merupakan acara muslimat ini akan menampilkan Ustazah Amirah Novel Jindan, Ustazah Asma’ Binti Harun, Ustazah Aminah BSA, Ustazah Alwiyah Assegaf, Ustazah Muna Assegaf, Ustazah Sofia Alhabsyi, Ustazah Khudaij Alosmany sebagai panel. 

Menurut penganjur, hasil keuntungan kutipan tiket akan disalurkan kepada Yayasan Ar Ri’ayah. 

“Besar juga harapan kami Cahaya Israk Mikraj akan menjadi acara tahunan dan tanda aras yang selalu diingat sebagai memperingati salah satu peristiwa penting buat umat Islam,” kata Erma Fatima.

Tiket pembelian Konsert Garis Masa Raihan dan setiap sesi Cahaya Israk Mikraj boleh dibeli di www.ticket2u .com.my.

Post a Comment

Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.

Previous Post Next Post

Keep Traveling