Melihat situasi yang kian meruncing di Palestin, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis berpengaruh membentuk MyAqsaDefenders (Kumpulan Mempertahankan alAqsa Malaysia) dan mensasarkan kutipan dana RM10 juta untuk disalurkan kepada warga Palestin di wilayah konflik itu.
Semua kutipan dana itu akan digunakan untuk menyalurkan bantuan fasa kecemasan, bantuan jangka sederhana dan bantuan jangka panjang kepada warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang kini diserang rejim zionis Israel.
MyAqsaDefenders dibentuk gabungan NGO iaitu Cinta Gaza Malaysia (CGM), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, MAPIM Malaysia, Malaysia For Syria (MFS), Iman Care, Pertubuhan Wilayah Ummah Malaysia (One Nation), Azhar Care, Pertubuhan Dana Kita, Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Cinta Syria Malaysia (CSM), MyFundAction, Philandure, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Warga Cakna dan Cakna Palestin.
Barisan influencer MyAqsaDefenders pula terdiri daripada Heliza Helmi dan Hazwani Helmi; MizzNina dan Noh Salleh – MinQalby Foundation; Faizal Tahir – iamfaithmen, Into Taqwa Malaysia; Fedtri Yahya, IM Fakhrul dan Dahlia Shazwan.
MyAqsaDefender turut melancarkan kempen serangan siber menggunakan tanda pagar #ShameOnIsrael dan #IsraelKoyak sebagai mengecam dan mengutuk serangan rejim Israel ke atas Al-Quds dan Gaza.
Kerjasama yang bersejarah ini bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada Palestin, menggerakkan kempen siber mengecam Israel dan bertekad mengemukakan pelaksanaan agihan bantuan kepada Palestin secara telus kepada umum.
“MyAqsaDefenders meyakini bahawa objektif gabungan ini tidak akan terlaksana tanpa perancangan dan pelaksanaan yang strategik, bersepadu, tersusun dan pantas. Gabungan ini komited untuk merancang dan bertindak agar terhasil impak dan kesan yang positif kepada isu yang sudah terlalu lama menjadi buah catur kuasa-kuasa besar dunia,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Nadir Al-Nuri.
Buat masa ini, MyAqsaDefenders berjaya mengumpulkan RM2 juta melalui gabungan NGO terbabit untuk mencapai sasaran dana RM10 juta.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta telah pun disalurkan bagi memenuhi keperluan membaik pulih Klinik Al-Aqsa yang terjejas di samping memastikan stok ubat dan juga keperluan rawatan kecemasan sentiasa tersedia termasuk alatan seperti ventilator bergerak.
“Sebahagian daripadanya juga telah dimanfaatkan untuk bantuan kewangan segera kepada murabitin Al-Quds, bayaran kos guaman mereka yang telah ditangkap sama ada di dalam insiden Al-Aqsa atau Perkampungan Syeikh Al-Jarrah serta kafalah sara hidup penduduk Kota Lama Al-Quds,” kata Nadir Al-Nuri.
Baki RM1 juta lagi diperuntukkan bagi bantuan membaik pulih infrastruktur dan rumah penduduk di Kota Lama al-Quds bertujuan memastikan penduduk terus bertahan dan mengekalkan demografi rakyat Palestin di kawasan tersebut.
Ia juga ekoran pengusiran penduduk asal Palestin dari rumah dan kediaman mereka di perkampungan Syeikh Al-Jarrah, sebelum diikuti serangan rejim Israel ke atas wilayah Gaza yang setakat ini mengorbankan 109 warga Palestin dan ratusan cedera.
Sebarang sumbangan boleh disalurkan kepada NGO terbabit atau terus ke laman Facebook MyAqsaDefenders untuk maklumat lanjut program di Gaza dan Tebing Barat, Palestin.
Post a Comment
Hai, komenlah dengan komen yang murni. '
The Qarya Post tidak bertanggungjawab terhadap komen yang anda tinggalkan.